Sesebuah tempat yang cantik, menarik dan menenangkan jiwa yang Allah taala ciptakan adalah untuk menujukkan bahawa Allah taala itu cantik dan suka pada kecantikan. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah taala, tetapi Allah taala tetap ingin menunjukkan bahawa sifatnya itu cantik dengan menunjukkan pada kejadiannya itu segala bentuk dengan begitu cantik sehinggakan hambanya sangat tertarik dan ingin mendekatinya. Subhanallah.
Tidak semua orang berpeluang untuk melihat kecantikan makhluk yang Allah taala ciptakan ini seperti gunung ganang, hutan hijau, air terjun yang memukau pandangan, pendengaran dan jiwa. Bagi kita yang berpeluang melihat segala nikmat kecantikan ini semestinya perlu bersyukur dan mengucapkan banyak-banyak pujian kepada Allah taala kerana menciptakan untuk hamba-hambanya suatu yang indah dan cantik yang menjadikan semuanya rasa minat dan cinta pada kecantikan tersebut.
Apa yang dapat kita fikirkan pada kecantikan ini? Jika ini yang Allah taala tunjukkan kepada yang melihat itu tanda kekuasaan dan kemampuannya menciptakan makhluk secantik ini, bagaimana pula fikir kita terhadap syurga di akhirat nanti. Subhanallah, sudah tentu lebih indah dan cantik lagi dari apa yang akan kita lihat. Allah taala memberikan janji kepada orang-orang yang beriman dengan syurga yang di mana ‘tidak pernah langsung dipandang oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak terlintas di hati manusia’. Khayalkan bagaimanakah syurga?
Sesuai dengan pesan Nabi SAW kepada kita, sekangkang kera tanah di syurga lebih baik dari seluas tanah di bumi dan segala isi di dalamnya. Bayangkan apa yang kita telah nikmati di dunia. Subhanallah. Itu hanyalah sedikit dari apa yang kita rasa.
Tags: Pendapat
