JKP DMAK atau Jawatankuasa Penghuni Dewan Malaysia Abbasiah kini menjadi tanda tanya setiap penghuni DMAK. Ke manakah program seperti sebelum ini yang hangat dan berjaya menghimpunkan pelbagai latar belakang persatuan seperti Bicara Siswa dan Ceria Damai?
Sebagai salah seorang dari kalangan JKP, mencuba juga untuk memikirkan satu perkara yang mampu mengaktifkan semula JKP dan memangkinkan kemampuannya yang bukan sahaja menjadi badan pelajar yang membantu Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) untuk program berpusat berpusat di DMAK, malah menjadikan JKP sebuah badan profesional dan memungkin segala apa yang dipandang enteng oleh pihak luar.
Selalunya JPMK akan menyerahkan kepada JKP untuk acara sambutan Hari Kemerdekaan, Maulidurrasul, Ma’al Hijrah, dan acara hari kebesaran Islam yang lain, tetapi kini JKP perlu lebih bersikap tegas sebelum menerima tugasan tersebut iaitu memohon JPMK melunaskan beberapa tuntutan JKP antaranya memberi hak untuk membuat keputusan dan menetapkan keputusan dari pihak JKP sebagai wakil penghuni untuk urusan berkaitan penghuni.
Selain itu, memberikan hak penghuni untuk menentukan kedudukan ahli jawatankuasa dalam JKP. Kini seolah-olah ianya dilantik oleh JPMK sendiri tanpa melihat kebolehan dan keinginannya untuk terlibat dalam AJKP. Dari satu segi saya setuju dengan tindakan tersebut iaitu dapat mengelakkan golongan yang tertentu masuk dalam AJKP, namun dari satu segi lain ia membawa keburukan juga kerana sesetengahnya tidak mampu untuk mengaktifkan portfolionya malahan lagi badan JKP itu sendiri.
AJKP mestilah memikirkan kembali pergerakan dan trek JKP sebagai badan bebas untuk penghuni juga sebagai badan yang membantu secara rasmi program dan aktiviti pelajar anjuran JPMK di DMAK. Bukan sahaja untuk aktiviti-aktiviti statik untuk acara hari kebesaran Islam, tetapi lebih kepada mengaktifkan minda mahasiswa, memecahkan tembok halangan pemikiran jumud dan memberi impak baru kepada mahasiswa Malaysia di Mesir amnya.
Saya yakin, dengan 10 Portfolio, di bawah arahan Pengerusi dengan bantuan Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan Timbalan Bendahari, JKP mampu berdiri sama dengan persatuan-persatuan lain dan bukannya hanya sebagai badan urusan kebajikan penghuni.
Muhammad Anas
AJKP DMAK 08/09.
Tags: Pendapat