
Ditulis pada 19 Disember 2010
Pernah diceritakan oleh Tuan Haji Ayob, pendakwah dan seorang bekas paderi antarabangsa, bahawa ada seorang yang berbangsa Cina telah memeluk Islam.
Tuan Haji Ayob mengajarkannya cara solat. Pemuda Cina yang baru memeluk Islam itu mengikuti apa yang diajarkan oleh Tuan Haji Ayob, cuma pemuda cina tersebut tidak pandai dan tidak ingat untuk menyebut zikir dalam solat yang diajar. Sudahnya Tuan Haji Ayob menyuruhnya menyebut ‘Subhanallah’ sahaja dan mengikut imam.
Setiap 5 waktu solat pemuda cina tersebut menunaikannya di masjid dan mengikut imam. Dia mengikuti apa yang diajarkan oleh Tuan Haji Ayob.
Sudah lama pemuda cina itu meninggalkan kampung halamannya. Dia pulang ke kampung dan sangat teringin untuk makan ‘kerbau pendek’. Ibunya memasakkan untuknya kerbau pendek lalu dia pun makan. Tak semena-mena apabila dia memasukkan daging ‘kerbau pendek’ itu ke dalam mulutnya, dia muntahkan balik daging tersebut.
Pemuda cina fikir mungkin ‘kerbau pendek’ itu tak sedap. Selepas itu dia mencuba pula makan di kedai yang berhampiran. Ternyata perkara itu terjadi juga.
Dia memberitahu Tuan Haji Ayob perkara tersebut.
Tuan Haji Ayob memberitahu pemuda cina itu bahawa kemungkinan Allah taala telah menyucikan dirinya dengan sebab selalu tasbih kepada Allah taala.


